Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Bismillah.
Sabda nabi saw "jadilah kita orang yang menyukai dan disukai". Sukar dilaksanakan tetapi mudah untuk bercakap soal ini.
Sekarang ini, di UKM adalah dalam fasa Pilihan Raya Kampus (PRK), pelbagai masalah ataupun konflik dalaman sesama kawan mahupun lawan timbul. Diri yang lemah ini juga tidak terlepas dari perkara tersebut memandangkan sebelum ini memegang jawatan sebagai Majlis Perwakilan Pelajar Fakulti Pendidikan UKM yang saya kira pelbagai mehnah dan tribulasi perlu diharungi bermula dari awal hingga akhir tampuk pemerintahan.
Masalah yang timbul bilamana tibanya musim PRK adalah seperti mendedahkan aib orang lain, bergaduh sehingga keterlaluan disebabkan perbezaan pemikiran, ramai yang outspoken untuk menarik perhatian orang lain untuk bersama-sama mereka sedangkan percakapannya itu menyebabkan hati sesetengah pihak terguris dan pelbagai perkara lagi yang berlaku bilamana mahasiswa tampil menyatakan pendirian masing-masing.
Mengapa penyindiran ini wujud bila tiba PRK? jika sebelum PRK, silaturahim tersebut tidak tercalar langsung. Selain itu, mengapa penjelasan pihak tertentu tidak menjadi keutamaan sebelum membuat tuduhan? Mengapa berlaku perbalahan yang menyebabkan orang lain bosan dengan PRK sedangkan pertukaran fikiran tidak berlaku secara menyeluruh? Bukankan PRK ini membuka laluan kepada seluruh mahasiswa/i untuk menilai dan memilih laluan yang disukai melalui manifesto yang dihasilkan. Oleh itu, pertukaran idea dan buah fikir perlu diperluaskan kerana manifesto merupakan salah satu buah fikiran calon yang bertanding.
Mahasiswa/i UKM perlu sedar bahawa masalah ini sememangnya berlaku dalam pilihan raya kampus UKM saban tahun. Ianya tidak lain tidak bukan hanyalah perbezaan pemikiran sahaja tetapi dibesar-besarkan sehingga riuh di laman sosial. Allah menciptakan kita mempunyai kelebihan masing-masing dan begitu juga pemikiran kita. Sememangnya kita berbeza pemikiran, buktinya kesukaan kita dalam memilih makanan juga berbeza-beza. Namun begitu, berlapang dada dan hormat-menghormati kita terapkan bilamana memilih untuk keluar makan bersama rakan-rakan yang lain walaupun kita berbeza kesukaan. Jelas nilai moral mahasiswa runtuh berikutan berlakunya pertelingkahan saban tahun hanya kerana PRK.
Saya juga mempunyai pengalaman dalam soal ini. Janji yang saya ditaburkan semasa menjadi calon dalam PRK tidak dapat dilaksanakan menyebabkan orang ramai melemparkan tuduhan saya ditak laksanakan janji tersebut. Seolah-olah usaha gigih saya sebelum ini tidak dihiraukan sedangkan perlaksanaan manifesto saya tersebut mempunyai kekangan yang sukar diatasi. Berikutan tidak mengambil penjelasan daripada orang yang sebenar sebelum membuat tuduhan maka timbullah suara-suara yang berlapis menyindir segala gerak kerja yang dilakukan sebelum ini. Inilah perkara yang berlaku semasa PRK. Sungguh perasaan kecewa dan sedih bilamana tuduhan yang dilemparkan adalah daripada sahabat handai yang dahulunya rakan seperjuangan. Itulah realiti di UKM, terkadang kawan dan terkadang lawan. Tiada masalah bagi saya kerana mungkin ia suatu proses pembelajaran untuk memperbaiki kekurangan diri ini. Faedah daripada pengalaman tersebut saya dapati bahawa gerak kerja mestilah diwarwarkan segera sama ada berjaya atau tidak dan juga tidak perlu malu untuk memaklumkan sekecil-kecil perkara yang telah dilakukan. Hal ini bukan untuk riak tetapi mengelakkan berlaku fitnah seperti pengalaman ini.
Justeru, penyelesaiannya tiada lain yang perlu diperbaiki akan tetapi diri sendiri yang perlu bersikap hormat-menghormati dan berlapang dada. Nabi saw menganjurkan kita supaya menyukai dan disukai melalui pergaulan, pertukaran fikiran, saling menasihati, memberi bantuan dan menerima bantuan dari orang lain. PRK bukan puncanya ! Saya lihat PRK medium terbaik untuk kita bertukar fikiran serta bergaul supaya lebih saling mengenali dan menyukai antara satu sama lain. Namun, puncanya adalah sikap mahasiswa itu sendiri perlu berubah daripada kebiasaan "menghentam" orang lain. Moga-moga PRK yang diadakan saban tahun tidak tercemar dengan perkara yang meruntuhkan akhlak islam yang digembar-gemburkan. InsyaAllah, tulisan ini menjadi muhasabah diri ini dan kepada mahasiswa/i UKM khususnya kerana saya sudah bosan melihat perkara kurang bermoral ini berlaku selama 4 tahun saya berada di UKM ini.
Sekian.
Mantan MPP 13/14